Jam sudah pukul 10 pagi. Kelibat Presiden UMNO masih belum kelihatan ketika itu. Dewan yang hanya mampu memenuhi seramai 1500 orang kelihatan mampat. Keheningan suasana terasa dan kelihatan ahli-ahli UMNO yang prihatin bersesak-sesak untuk mengambil tempat di dalam dewan. Namun ramai yang yang kecewa terpaksa akur berada di luar dewan untuk mendengar penerangan PRESIDEN UMNO dalam perhimpunan tertutup yang ditunggu-tunggu.
Jam 1005 Pak Lah tiba diringi Datuk Seri Najib dan dewan terus bergema dengan salam dan selawat ke atas nabi junjungan. Lagu Negaraku dan UMNO dinyanyikan dengan gemuruh ; setiap senikata dan bait dihayati sedalam-dalamnya.
Tan Sri Muhammad Mohd Taib menghangatkan majlis dengan intipati ucapan menyentuh kronologi kritikan pedas terhadap kepimpinan Pak Lah. Menurutnya , tidak adil menuding jari ke arah Pak Lah semata-mata. Tuduhan-tuduhan yang penuh emosi adalah persepsi yang diputarbelitkan terutamanya oleh media alternatif yang menembusi segala lapisan masyarakat. UMNO perlu peka dan lebih fleksibel dalam meniti krisis ini.. Ramai tidak sedar akan kesahihan fakta yakni UMNO pasca pilihanraya 2008 lebih kukuh dari UMNO pasca pilihanraya 1999. Pak Lah perlu diberi peluang ujarnya. Ahli-ahli parti diseru supaya tidak terpengaruh dengan petualang dan pengkhianat UMNO.
Tepat jam 1045 pagi , keadaan yang menjadi gelisah ketika ucaptama Ketua Penerangan UMNO berubah menjadi sunyi sepi apabila tiba giliran Pak Lah untuk berucap. Beliau yang jarang-jarang dilihat tegas berucap dengan penuh semangat yang membuat hadirin terpaku .Beliau mengajak ahli-ahli UMNO berfikir mengapa sokongan rakyat kini sudah tidak sepenuhnya kepada Barisan Nasional. Apa yang telah terjadi ? Parti-parti komponen seperti MCA , MIC dan GERAKAN yang kalah teruk telah memulakan langkah pemulihan parti tetapi sayangnya , dalam UMNO ada yang ingin merobohkan dan menghancurkan UMNO.
Pak Lah mengulangi kenyataannya sebelum ini bagaimana kita menerima mesej jelas dari rakyat selepas pilihanraya . Rakyat mahukan perubahan dan malangnya perubahan yang dilakukan kerajaan BN belum cukup. Mandat besar yang diberikan pada 2004 tidak dilaksanakan kepercayaan itu secukupnya. Kerajaan BN mesti melakukan lebih baik dari yang sedia ada. Harga minyak dan barangan asas telah naik mendadak dan ini menyebabkan rakyat marah. Kerajaan telah sebenarnya mencuba sedaya upaya untuk mengurangkan beban dan menerangkan dengan selengkapnya langkah-langkah yang diambil. Namun , hasutan dari pihak yang tidak bertanggungjawab memutar-belitkan fakta keuntungan PETRONAS yang sepatutnya digunakan untuk mengurangkan beban ini. Pak Lah menegaskan kewujudan PETRONAS bukan sebagai agensi subsidi tetapi badan yang bertanggungjawab untuk kemajuan.
Pak Lah juga menyentuh mengenai isu agama , kuil dan pakatan HINDRAF. Kaum India pada pilihanraya ini memangkah selain BN untuk menyatakan ketidakpuashatian mereka. Orang-orang Cina juga diprovokasi untuk tidak menyenangi kaum Melayu yang dianggap sudah kuat atas isu DEB , ketuanan melayu , tentera dan polis.
Pak Lah sempat menyelar Tun Dr Mahathir ( yang dipanggilnya orang tua ) kerana sebelum 8 Mac beliaulah yang memberikan imbasan yang Malaysia memerlukan parti pembangkang yang lebih kuat. Apabila keadaan sudah jadi sebagaimana yang dibayangkannya , Pak Lah pula yang diperlekehkan. Tun Dr Mahathir tidak sedar yang beliau sendiri sukar untuk menerima pendapat orang lain walaupun di dalam partinya sendiri ketika zaman pemerintahannya. Fakta ; Sokongan orang Melayu sebenarnya lebih jitu kini berbanding 1999.
Barisan Nasional sebenarnya menang besar di kawasan-kawasan majoriti melayu dan kalah teruk di kawasan bukan majoriti melayu. ( Kawasan >60% pengundi melayu , BN menang 63% kerusi yang ditandingi .kawasan >60% pengundi bukan melayu , BN Cuma menang 19% dari kerusi yang ditandingi. ) Namun kekalahan 22 kerusi parlimen kawasan putih dikesan puncanya sebagai SABOTAJ dalaman. Begitu juga nasib 22 kerusi Dewan Undangan Negeri yang menjadi punca kejatuhan negeri Perak dan Kedah kepada pembangkang. UMNO sendiri yang menyebabkan kekalahan UMNO. TIndakan pengkhianatan ini dikutuk keras oleh Pak Lah dan sekiranya didapati bersalah , akan dihukum sewajarnya.
Pak Lah merayu ahli-ahli UMNO supaya sayangkan UMNO. Peristiwa hitam pengharaman UMNO pada 1988 amat menyedihkan. Parut lukanya masih berdarah dan tidak pernah pulih sepenuhnya. Tun Dr Mahathir tidak pula diminta untuk meletakkan jawatan pada ketika itu , tetapi semua ahli diminta bermuhasabah dan mengukuhkan UMNO. UMNO harus sedar dan tidak hanyut ; sentiasa prihatin kepada suara rakyat. Rakyat yang mengundi Pak Lah pada 2004 jugalah yang telah mengundi sebaliknya pada 2008 ; dan kali ini isyarat jelas untuk reformasi menyeluruh telah dihantar. PArti yang kuat itu datang dari sokongan rakyat dan bukan ahli ahli parti sahaja semata-mata.
Pak Lah juga mengakui kehadiran perang siber dan blog yang memberikan impak dan punca keputusan pilihanraya yang tidak berpihak kepada Barisan Nasional. Beliau memberitahu yang di ruangan siber itu pada ketika ini Tun Dr Mahathir sebenarnya banyak dikecam. Tiada siapa malaikat , tidak Pak Lah mahupun Datuk Seri Najib. Pak Lah mengecam Tun Dr Mahathir yang kononnya memperjuangkan kebebasan media. Pak Lah mengingatkan hadirin tentang penyalahgunaan ISA seperti OPERASI LALANG ketika zaman pemerintahannya. Pak Lah kesal dipanggil lemah , lembik dan tidak ditakuti orang tetapi tidak mahu membalas memanggil nama kerana tidak mahu menjatuhkan air muka Tun Dr. Mahathir. Rakyat kini sebenarnya mempersoalkan Tun Dr Mahathir. Video Lingam dirakamkan sewaktu Tun Dr Mahathir masih menjadi Perdana Menteri ! Begitu juga dengan isu kuota – Pelopornya ialah tidak lain dan tidak bukan Tun Dr Mahathir sendiri !
Pak Lah menegaskan bahawa Khairi tidak sama sekali terlibat dengan senarai calon dan cabinet.Hanya Datuk Seri Najib dan Datuk Seri Sheikh Radzi yang membantunya dan tiada orang lain. Begitu juga dengan tuduhan liar mengenai tindak tanduk “budak-budak” tingkat empat. Pak Lah bertanggungjawab ke atas semua keputusannya yang tidak dibayangi oleh mana mana pihak.
Pak Lah berazam untuk mengotakan semua janji-janji Barisan Nasional. Semua Koridor yang dirancang perlu dilaksanakan segera. Pengukuhan modal insan perlu menjadi keutamaan. Begitu juga dengan isu agama yang menjadi mainan politik sewenang-wenangnya. Selain itu penyusunan parti perlu bermula dari akar umbi dalam langkah untuk membina semula UMNO dan BARISAN NASIONAL.
Pak Lah memberikan satu soalan yang mudah tetapi sukar untuk dijawab. Mampukah kita mengukuhkan UMNO di negeri-negeri yang kita kalah ? Peranan yang dimainkan di negeri-negeri ini telah berubah dan UMNO perlu peka. Pak Lah sekali lagi menyelar kenyataan Tun Dr Mahathir yang menganggap UMNO sudah tiada lagi harapan di Kedah , Pulau Pinang , Perak dan Selangor. Pak Lah mengingatkan hadirin ketika Tun Dr M sendiri yang menjadi Ketua UMNO Kelantan , tetapi PAS masih lagi memerintah negeri itu. Begitu juga dengan Tengku Razaleigh yang tidak pernah memberikan apa-apa impak kepada parti ; malah dia kehilangan satu kerusi Dean Undangan Negeri di kawasan parlimennya dalam pilihanraya baru-baru ini.
Media di zaman Pak Lah sebenarnya adalah yang paling bebas. Ketika Anwar Ibrahim menjadi Timbalan Perdana Menteri , dia mengawal aliran media. Pak Lah sekali lagi mengingatkan ahli-ahli UMNO yang hadir mengenai tindakan Tun Dr M selepas menjadi Perdana Menteri ; untuk tidak menyiarkan apa-apa berita mengenai mantan Perdana Menteri ketika itu , Tun Hussein Onn.
Musuh sebenar UMNO ialah pihak pembangkang dan bukan UMNO. Pak Lah menyatakan yang pada ketika dia memilih Datuk Seri Najib sebagai timbalannya , Pak Lah mahu bekerjasama dengan beliau sepenuhnya. Apabila tiba masa , tampuk pemerintahan akan diserahkan dan Datuk Seri Najib diharapkan agar membawa Malaysia ke arah kemajuan pasca 2020. Pak Lah akan sentiasa merestui perjuangan sebegini dan berharap dapat melihat sinar itu sekalipun berkerusi roda.
“ Saya bukan tamak , saya bersyukur.. “